Selamat datang ke laman-web Falun Dafa di Malaysia – satu laman-web yang telah direkabentuk dan dikendali sama sekali oleh pelatih-pelatih Falun Dafa. Kami berharap di laman-web inilah anda dapat mula mengikuti latihan Falun Dafa. Seluruh isi-kandungan laman-web ini - kecuali penulisan pengasas – adalah ide-ide dan pandangan-pandangan pelatih-pelatih Falun Dafa dan tidak boleh dianggap mewakili dasar Falun Dafa. Kami berhasrat memperkenalkan latihan yang mengagumkan ini kepada anda, dan kami berharap anda dapat meluangkan sedikit masa untuk menerokainya dengan diri sendiri.

Falun Dafa adalah sejenis latihan yang telah membawa kesihatan yang lebih baik, dan ketenteraman dalaman kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia. Kami namakannya sebagai sejenis "Latihan Pembinaan". "Pembinaan" merujuk kepada bertambah baiknya hati dan minda seseorang melalui penelitian prinsip-prinsip alam semesta yang berasaskan kepada Sejati, Baik dan Sabar. "Latihan" bermakna membuat gerak-badan dan bertafakul untuk menambahkan tenaga badan.

Mempelajari Falun Dafa adalah mudah. Latihannya amat mudah, amat berkesan dan percuma sama sekali. Prinsip-prinsip utama Falun Dafa ada dijelaskan dengan sepenuhnya dalam buku "Zhuan Falun", dan dalam buku bagi mereka yang baru mula belajar "Falun Gong", yang ditulis oleh Encik Li Hongzhi, pengasas Falun Dafa. Sama penting bagi latihan ini ialah 5 set gerak-badan yang bersifat lemah-lembut, termasuk satu latihan bertafakul dengan duduk bersila. Anda dapat mempelajari kesemua ini dengan cepat dan mudah di mana-mana satu daripada beribu-ribu tempat latihan di seluruh dunia.

Falun Dafa – Pengenalan Ringkas

Falun Gong (juga dikenali sebagai Falun Dafa) adalah sejenis qigong kuno, latihan memurnikan badan dan minda seserorang melalui gerak- badan dan bertafakul. Seperti juga Taiji, qigong merupakan sebahagian penting dalam kehidupan ramai orang di Asia. Ketika fajar menyingsing, hampir setiap taman di Negara Cina dibanjiri orang yang melatih seni-seni sedemikian.

Dalam 8 tahun sahaja sejak ianya diperkenalkan ke masyarakat, Falun Dafa telah berkembang menjadi sejenis qigong yang paling popular dalam sejarah Negara Cina. Ini adalah disebabkan oleh sifatnya yang amat berlainan dengan qigong yang lain. Ianya bukan sahaja menitik-beratkan pembinaan fisikal, tetapi juga mementingkan pembentukan akhlak seseorang dengan mengikuti prinsip-prinsip yang lebih tinggi yang diajar oleh Encik Li Hongzhi, pengasas Falun Dafa.

Kesan Falun Dafa dalam peningkatan kesihatan dan prinsip-prinsip ulungnya dengan pesat telah menjadikan latihan ini amat popular di seluruh dunia. Sejak ianya diperkenalkan kepada orang ramai oleh Encik Li pada tahun 1992, Falun Dafa telah menarik minat beberapa puluh juta orang di lebih daripada 40 negara. Kebanyakan bandar-bandar dan universiti-universiti utama di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Eropah mempunyai kumpulan pelatih Falun Dafa aliran Bahasa Inggeris.

Mereka yang melatih Falun Dafa datang dari pelbagai golongan kerana Falun Dafa menjangkau budaya, sosial, ekonomi dan batasan-batasan negara. Keistimewaan ini tersebar dari mulut ke mulut kerana mereka yang telah mempelajarinya biasanya akan mendapati faedahnya dan merasa tidak sampai hati hendak mendiam diri.

Buku-Buku dan Gerak-Badannya

Latihan Falun Dafa adalah mudah, namun hebat dan berkesan. Ianya merangkumi dua bahagian asas: perkembangan akhlak kendiri dengan mengaji ajaran Encik Li dan melakukan 5 set gerak-badan yang lemah-lembut. Gerak-badan yang merangkumi satu tafakul bersila amat mudah dipelajari, menyeronokkan, melegakan dan membawa tenaga kepada badan. Ramai pelajar Falun Dafa suka berkumpul dan membuat gerak-badan tersebut di luar rumah. Ajarannya pula terkandung di dalam 2 buah buku, iaitu Falun Gong dan Zhuan Falun yang boleh didapati dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia.

Prinsip-Prinsip Latihan

Faedah melatih Falun Dafa amat banyak dan pelbagai, seperti kesihatan yang bertambah baik, tenaga baru untuk menjernihkan minda, melegakan tekanan dan membawa ketenangan fikiran. Falun Dafa berbeza dengan kebanyakan latihan Qigong yang lain. Selain daripada mencapaikan kesihatan dan ketegapan, ianya juga mencapaikan kearifan dan keinsafan. Teras latihan ini ialah prinsip-prinsip alam semesta yang ulung, iaitu Sejati, Baik dan Sabar. Dengan mengaji buku-buku dan membuat gerak-badan berkenaan, pelatih-pelatih berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini dalam setiap perkara yang dibuat oleh mereka.

Adakah ini untuk saya?

Berjuta-juta orang dari seluruh dunia telah memilih menjadikan Falun Dafa sebahagian daripada kehidupan harian mereka. Mereka dapati ini adalah satu pelaburan masa yang amat berfaedah dan menyeronokkan untuk mencapai kesihatan, kebahagiaan dan kehidupan yang bermakna. Apa yang diperlukan ialah minda yang terbuka dan hati yang rela. Falun Dafa tidak terlibat dengan politik, tidak ada syarat-syarat, percuma, dan tidak terikat denagn sebarang kewajipan atau keahlian. Bahkan semua bukunya boleh didown-load dengan percuma. Kami mengalu-alukan anda mencuba dan merasai keistimewaannya dengan diri sendiri.